Sawmill haram diserbu di Sook, rampasan balak cecah puluhan juta

KENINGAU: Kegiatan sebuah sindiket dipercayai menjalankan operasi pengumpulan kayu balak secara haram terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 21 menyerbu sebuah lokasi di Sook, semalam.

Serbuan itu dilakukan menerusi Operasi Intra/Inter Agensi hasil risikan Pasukan Risik dan Task Force PGA dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah.

Menurut sumber, pemeriksaan mendapati kayu balak yang dikumpulkan tidak mematuhi peraturan, termasuk tiada nombor siri berpahat serta tidak mempunyai tanda Property Hammer Mark (PHM) dan cap rasmi Jabatan Perhutanan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas sejumlah besar kayu balak pelbagai jenis, selain beberapa kenderaan dan jentera.

Nilai rampasan dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit.

Seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan, manakala kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan lanjut.