Dexter Lau dilantik pengerusi MCBA Malaysia Timur

KOTA KINABALU: Persatuan Perniagaan Malaysia–Kemboja (MCBA) melantik Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China Sabah, Datuk Dexter Lau sebagai pengerusi bagi Cawangan Malaysia Timur yang baru ditubuhkan.

Presiden MCBA, Datuk Seri Dr Ricky Yaw berkata pelantikan itu merupakan sebahagian daripada usaha persatuan memperluaskan rangkaian perniagaan serta mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Kemboja.

Pengumuman tersebut dibuat pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina MCBA – Tahun Kuda yang menghimpunkan komuniti perniagaan serta wakil pelbagai agensi berkaitan.

Menurut Ricky, penubuhan cawangan Malaysia Timur mencerminkan komitmen MCBA untuk memperkukuh kehadiran persatuan di seluruh negara serta membina rangkaian perniagaan yang lebih inklusif.

Dexter Lau yang juga Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad berkata penyertaan Sabah dan Sarawak dalam platform tersebut akan melengkapkan rangkaian perniagaan berskala nasional.

Katanya, langkah itu berpotensi meningkatkan kerjasama dua hala serta membuka lebih banyak peluang pelaburan antara Malaysia dan Kemboja.

“Pengembangan ini bukan sahaja mengukuhkan rangkaian perniagaan Malaysia, malah meningkatkan keterlibatan di peringkat kerajaan serta menggalakkan aliran pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan Malaysia Timur yang merangkumi Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan pemprosesan agro, pelancongan, sumber tenaga boleh diperbaharui, industri halal serta logistik dan perdagangan serantau.

Menurutnya, dengan platform kerjasama yang tepat, Malaysia Timur mampu memainkan peranan lebih signifikan dalam memajukan hubungan ekonomi Malaysia–Kemboja.

Sebagai pengerusi baharu MCBA Malaysia Timur, Dexter berkata beliau akan membentuk majlis kepimpinan bagi cawangan tersebut dengan menghimpunkan komuniti perniagaan tempatan untuk menyokong inisiatif persatuan serta memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.