Wanita GRS perlu bersatu, elak perpecahan dalam organisasi – Azizah

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun mengingatkan kepimpinan Wanita supaya terus memperkukuh perpaduan dalam organisasi serta mengelakkan sikap berpuak-puak yang boleh menjejaskan kekuatan parti.

Beliau berkata jentera Wanita GRS perlu bergerak sebagai satu pasukan dan mengambil iktibar daripada pengalaman lalu bagi memastikan perpaduan terus diperkukuh.

“GRS khususnya jentera Wanita perlu bergerak sebagai satu pasukan dan mengelakkan sikap berpuak-puak yang boleh membawa kepada perpecahan,” katanya.

Azizah berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS yang diadakan di Kota Kinabalu di sini semalam.

Menurutnya, sebagai parti gabungan tempatan yang menerajui kerajaan negeri, GRS perlu menunjukkan kekuatan organisasi yang setanding dengan parti-parti nasional.

Katanya, kepimpinan wanita juga perlu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan organisasi bagi mencari penyelesaian terbaik dalam memperkukuh peranan wanita dalam parti.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan kemahiran komunikasi dalam kalangan pemimpin wanita bagi memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dan inisiatif bantuan kepada rakyat dapat disampaikan dengan berkesan.

Beliau turut menggesa jentera Wanita GRS supaya terus mendekati masyarakat serta turun padang bagi memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Selepas mesyuarat tersebut, pimpinan Wanita GRS turut menghadiri majlis berbuka puasa bersama Jawatankuasa Tertinggi Wanita GRS.