SANDAKAN: Seramai lima lelaki ditahan polis dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, Isnin lalu.
Operasi bermula kira-kira jam 11 pagi hingga 8 malam itu dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kampung Gas, Jalan Batu Sapi dan Taman Mawar, Jalan Sibuga.
Dalam operasi tersebut, tiga lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, dua lagi lelaki yang berada di lokasi berasingan turut ditahan selepas disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.
Kesemua suspek kemudian menjalani ujian saringan awal air kencing di pejabat BSJND IPD Sandakan dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Pada hari sama, pasukan operasi turut membantu Balai Polis Ulu Dusun menjalankan ujian saringan air kencing terhadap seorang lelaki yang juga didapati positif syabu.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi tersebut dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman untuk membanteras jenayah dadah di daerah berkenaan.
