KOTA KINABALU: Dua buah rumah tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Suang Parai, Jalan Sepanggar di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.09 malam, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, menerima panggilan kecemasan sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama BBP Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, TPgB I Ordine Gilu, berkata kebakaran melibatkan dua rumah berkeluasan kira-kira 25×30 kaki dan 25×25 kaki yang terbakar 100 peratus.
Menurutnya, seramai 29 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan sumber air daripada tangki jentera.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 7.43 malam dan turut menyelamatkan dua buah rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya dalam kenyataan.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 9.38 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
