KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah berpandangan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi sepatutnya dapat dielakkan.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata walaupun kerajaan pusat mungkin memerlukan masa untuk menyusun mekanisme dan kaedah pelaksanaan tuntutan itu, langkah menangguhkan pembayaran bukan pendekatan paling wajar ketika ini.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan boleh mempertimbangkan untuk memulakan pembayaran sebahagian dana berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada, sementara jumlah sebenar serta formula pengiraan dimuktamadkan melalui rundingan dengan kerajaan negeri.
“Langkah itu akan menunjukkan komitmen terhadap keputusan mahkamah dan pada masa sama memberi keyakinan kepada rakyat bahawa hak Sabah sedang dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi memutuskan Sabah mempunyai hak perlembagaan terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Azrul berkata pelaksanaan keputusan berkenaan wajar dizahirkan melalui komitmen dan itikad baik semua pihak yang terlibat.
Menurutnya, sebarang penangguhan hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Sabah yang sekian lama menantikan penyelesaian terhadap tuntutan berkenaan.
Beliau juga menegaskan isu tersebut tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri tidak serius dalam memperjuangkan hak Sabah.
Katanya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri konsisten memperjuangkan hak negeri itu melalui rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta saluran perundangan.
Azrul berkata perkara paling penting ketika ini ialah memastikan hak Sabah dihormati serta dilaksanakan seperti yang diperuntukkan.
Dalam semangat Persekutuan Malaysia yang adil dan saksama, katanya, kerajaan Persekutuan diharap dapat mengambil langkah lebih proaktif bagi menyelesaikan perkara itu tanpa penangguhan.
