Van terbabas di Inanam, dua parah

KOTA KINABALU:  Dua individu cedera parah selepas sebuah van Toyota terbabas sendiri ke bahu jalan dalam kemalangan di Jalan Sekolah Rendah Kionsom, Inanam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.34 malam itu, seramai 10 mangsa terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, enam mangsa dilaporkan tidak cedera, dua cedera ringan manakala dua lagi cedera parah.

“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta jentera EMRS bomba,” katanya.

Operasi tamat pada jam 11.45 malam selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.