PAPAR: Pencawang elektrik baharu di Kampung Takis yang siap dibina pada 26 Februari lalu dijangka beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya awal April ini bagi mengatasi masalah kesusutan voltan yang menjejaskan penduduk di kawasan berkenaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ketika ini pencawang tersebut berada dalam proses pemindahan beban daripada pencawang asal sebelum mula beroperasi sepenuhnya.
Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216 volt yang memberi kesan kepada penggunaan elektrik di kediaman dan premis perniagaan sekitar Kampung Takis.
“Masalah ini turut menyebabkan kerosakan peralatan elektrik dan meningkatkan risiko berlakunya litar pintas yang boleh mengganggu aktiviti harian penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek pembinaan pencawang elektrik berkenaan sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin, Kampung Takis, hari ini.
Armizan berkata dengan siapnya pencawang baharu itu kelak, bekalan elektrik yang lebih stabil dijangka dapat dinikmati penduduk selain mampu menampung peningkatan penggunaan elektrik di kawasan sekitar.
