Tiga lelaki ditahan bakar kabel curi

KOTA MARUDU: Tiga lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel dalam serbuan di Kampung Tagas, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi hari ini.

Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu hasil maklumat orang awam yang melihat suspek sedang membakar kabel dipercayai bagi mendapatkan tembaga.

Polis turut merampas longgokan kabel yang sudah dibakar serta sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan berkenaan.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek berasal dari Kampung Bengkongan dan Kampung Ranau di daerah ini serta mempunyai rekod kesalahan lampau.

Ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simiun Lomudin berkata, semua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek dan menegaskan kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah.