Tertuduh, Herman Idris, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan pertama, Herman yang bertugas sebagai Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Elopura didakwa menggunakan kedudukannya untuk mencadangkan saudaranya, Amir Ismail, sebagai penerima bantuan kemiskinan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bernilai RM70,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika Mesyuarat Focus Group Daerah Sandakan pada 26 September 2022 kira-kira jam 2.30 petang di Dewan Persidangan Libaran, Tingkat 1, Wisma Perbandaran, Majlis Perbandaran Sandakan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan mencadangkan seorang lagi saudaranya, Siti Nor Amira Amir, sebagai penerima bantuan program yang sama bernilai RM70,000.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM6,000 serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sandakan setiap dua bulan sekali.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon daripada Tetuan Lincon & Co.
Mahkamah menetapkan 1 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
