KOTA KINABALU: Maxim E-hailing Malaysia meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melaksanakan program kebajikan Ramadan di Kota Kinabalu dan Tawau.
Inisiatif itu melibatkan pengagihan juadah berbuka puasa, sumbangan barangan keperluan asas serta bantuan pengangkutan kepada komuniti setempat, institusi madrasah dan rumah anak yatim.
Program bermula di Masjid Al-A’laa, Kampung Lokub dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah.
Konvoi terdiri daripada wakil Maxim, pemandu serta ahli Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Sabah mengagihkan juadah berbuka puasa kepada penduduk setempat.
Rektor UiTM Sabah, Profesor Madya Dr Rozita Mohamed yang hadir pada program tersebut menyatakan penghargaan terhadap usaha kolaborasi berkenaan.
Maxim turut melawat Madrasah Darul Hadis DarSa Sabah dengan menyampaikan hamper barangan asas serta replika cek bernilai RM300 bagi kegunaan perjalanan menggunakan perkhidmatan e-hailing itu.
Di Tawau, syarikat berkenaan turut menyalurkan bantuan kepada Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh melibatkan 34 anak yatim dengan sumbangan pelbagai keperluan harian.
Pengarah Maxim E-hailing Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, pihaknya komited untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai program komuniti.
