Tragedi Memburu: Lelaki Maut Terjatuh Dari Pokok di Hutan Sapoda

KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 44 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti memburu di kawasan hutan Sapoda, di sini, malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 malam melalui talian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud.

Seramai lima anggota dari BBP Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 39 kilometer dari balai. Jentera tiba pada jam 8.25 malam.

Bagaimanapun, pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan kejadian kerana laluan tidak dapat dilalui kenderaan. Pasukan bomba bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ranger Sapoda terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke lokasi mangsa.

Komander Operasi, PBK II Hawie Liun berkata, setibanya di lokasi, mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.

“Pasukan bomba bersama Ranger Sapoda membawa mangsa keluar ke jalan utama menggunakan jungkin stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi yang turut melibatkan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua petugas KKM, dua Ranger Sapoda dan 12 orang awam itu tamat sepenuhnya pada jam 10.56 malam.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.