KOTA KINABALU: Empat rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, pada Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.
Komander Operasi, PPgB Mohammad Hannis Moktar berkata, kebakaran melibatkan empat rumah berkeluasan 20×30 kaki setiap satu dan kesemuanya terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman serta membina ‘fire break’ bagi menghalang api daripada merebak ke rumah berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.25 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 petang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Operasi pemadaman melibatkan 29 anggota termasuk bantuan BBP Putatan dan Bomba Komuniti Tanjung Aru dengan kekuatan dua aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan tiga pancutan air daripada pili bomba berhampiran.
Turut membantu di lokasi ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
