KPDN laksana OPS Pantau 19 Feb hingga 20 Mac

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac ini bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi serta harga terkawal sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Armizan Mohd Ali, berkata operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan pemantauan lebih kerap serta bersasar terhadap barangan yang menjadi keutamaan rakyat ketika musim perayaan.

Beliau berkata, antara barangan dipantau ialah gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barangan basah serta bahan membuat kuih-muih.

“Penguat kuasa akan memastikan semua barangan dipamerkan dengan tanda harga yang jelas, tiada unsur pencatutan dan barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum ditetapkan kerajaan.

“Ini termasuk yang tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, KPDN turut memantau premis yang mengadakan jualan murah bagi mengelakkan sebarang iklan yang boleh mengelirukan pengguna.

Pemantauan juga dilaksanakan di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi membanteras penjualan barangan tiruan serta memastikan aktiviti jualan dalam talian mematuhi undang-undang.

Pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit serta platform dalam talian.

Dalam pada itu, KPDN akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga bazar mematuhi peraturan sepanjang tempoh operasi.

Tegas beliau, tindakan akan diambil mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.

Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum pula memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat.

Sementara itu, kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi individu dan sehingga RM20,000 bagi syarikat.

Untuk rekod, sebanyak 70,906 pemeriksaan dilaksanakan menerusi OPS Pantau 2025 di seluruh negara dengan 390 kes direkodkan membabitkan nilai rampasan RM42,878.52.