Seram! Bahagian Tubuh Ditemui di Menggatal, Polis Siasat Kes Bunuh

KOTA KINABALU:  Polis sedang giat menyiasat kes bunuh selepas penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di rumah kedai Indah Permai, Menggatal, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 8 pagi dan segera menggerakkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Unit Forensik PDRM, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I serta Unit Anjing Pengesan (K9) ke lokasi.

Setakat ini, identiti mangsa masih belum dapat dipastikan. Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum bahagian tubuh tersebut dibuang di kawasan berkenaan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HQE I, dan bedah siasat dijadualkan esok jam 8.30 pagi. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Rahman di talian +60 12-310 6882 atau IPD Kota Kinabalu di 088-529222. Segala maklumat akan dirahsiakan.

Syed Lot menegaskan bahawa polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.