Tawau paling subur, mampu muncul hab pertanian Sabah

TAWAU: Tawau dikenal pasti sebagai daerah paling subur di Sabah dan berpotensi menjadi hab pertanian utama negeri itu, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, penemuan itu berdasarkan kajian Jabatan Pertanian yang meletakkan Tawau di kedudukan teratas dari segi kesuburan tanah, diikuti Tenom.

Menurutnya, potensi tersebut membolehkan pembangunan sektor pertanian berasaskan teknologi moden serta inovasi dipertingkatkan.

“Tawau mempunyai kelebihan besar untuk dibangunkan sebagai pusat pertanian negeri. Varieti tanaman baharu seperti Avocado Quoin Sabah berpotensi untuk pasaran eksport,” katanya selepas merasmikan Pameran Pertanian dan Akuakultur Tawau 2026 (TAAE 2026).

Jamawi berkata, permintaan terhadap avokado dan nanas MD2 semakin meningkat, namun pengeluaran Sabah masih belum mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pertanian akan mempergiatkan pemberian benih dan galakan kepada petani untuk meningkatkan pengeluaran.

Beliau turut menggesa orang ramai menyertai Inisiatif Kebun Dapur yang akan dilancarkan bulan depan bagi memperluaskan penglibatan masyarakat dalam sektor pertanian.