Nahas Van–Motosikal di Jalan Kibagu Ragut Dua Nyawa

KOTA KINABALU : Dua lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah van KIA dan motosikal Honda Vario di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, di sini, pada Isnin malam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam sebelum sepasukan anggota dari BBP Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi.

Menurut Komander Operasi, PBKI Norejan Jamlin, kedua-dua mangsa lelaki tersepit di bawah kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan air lifting bag.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut, manakala pemandu van KIA dilaporkan selamat tanpa kecederaan.

Operasi yang melibatkan 11 anggota bomba itu berjaya dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 8.23 malam.