Sabah, Persekutuan sepakat perkasa padi, jagung dan infrastruktur nelayan

PUTRAJAYA: Kerajaan Sabah terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkasakan sektor pertanian dan perikanan negeri, sejajar agenda keterjaminan makanan negara.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pertemuan bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi tumpuan kepada pembangunan padi dan beras, jagung makanan ternakan serta ternakan ruminan.

Menurutnya, peranan LPBS akan diperkukuhkan bagi meningkatkan tahap sara diri beras Sabah.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan pembangunan pusat pengumpulan hasil pertanian bagi memudahkan pemasaran dan pengurusan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan jeti nelayan baharu di Sandakan dan Semporna menjadi antara fokus penting bagi meningkatkan kebajikan serta kecekapan operasi komuniti nelayan.

Selain itu, penambahbaikan jalan pertanian di seluruh Sabah turut diketengahkan bagi meningkatkan akses ke kawasan ladang dan perkampungan tani.

Jamawi berkata, kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan akan memastikan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah terus berdaya saing serta mampan.