Rempuhan di Flyover Jalan Lintas, Penunggang Motosikal Maut

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal berusia 61 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Flyover Jalan Lintas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.34 tengah hari itu, motosikal jenis Honda yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah Toyota Hilux Vigo.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sebuah jentera EMRS bersama tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 1.39 petang dan mendapati seorang mangsa sudah tidak menunjukkan tanda-tanda hayat.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan keselamatan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.03 petang.

Siasatan lanjut oleh polis sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.