Sabah masih jauh ketinggalan dalam durian premium – Jamawi

PENAMPANG: Kerajaan Sabah mengakui negeri ini masih ketinggalan dalam penanaman durian premium walaupun permintaan eksport, khususnya dari China dan Korea, semakin meningkat.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata Sabah ketika ini hanya mempunyai sekitar 5,000 ekar tanaman durian premium, dengan kira-kira 800 ekar sahaja telah matang dan mengeluarkan hasil.

“Angka ini menunjukkan kita masih jauh ke belakang jika mahu menembusi pasaran eksport dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya semasa lawatan media ke kebun durian di Kampung Timpangoh Laut, Sugud, hari ini.

Menurut Jamawi, selain varieti popular seperti Musang King, Duri Hitam dan IOI, varieti tempatan Sabah seperti Kinabalu King, Durian Dalit dan Tenom Beauty turut berpotensi besar untuk pasaran antarabangsa.

Beliau berkata Kinabalu King telah dinamakan dan dikawal kualitinya oleh Persatuan Penanam Durian dan Buah-Buahan Tropika Sabah sejak tiga tahun lalu bagi melindungi jenama tempatan.

Jamawi berkata durian wajar dilihat sebagai tanaman berimpak tinggi yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar, namun mengakui tempoh matang lima hingga enam tahun memerlukan pendekatan sokongan menyeluruh.

Sehubungan itu, katanya, Program Kebun Dapur akan diperkasakan bermula tahun hadapan dengan menggalakkan penduduk luar bandar menanam sekurang-kurangnya empat hingga lima pokok durian premium di sekitar kediaman masing-masing.

“Hasil akan dikumpulkan melalui 10 pusat pengumpulan bersama Korporasi Pembangunan Desa (KPD) serta enam lagi pusat oleh Jabatan Pertanian,” katanya.

Bagi memastikan pendapatan sementara, Jamawi berkata agensi di bawah MAFFI akan membantu penduduk luar bandar melalui aktiviti penternakan ikan dan ayam.

Dalam masa sama, kawasan berkenaan dirancang sebagai destinasi agropelancongan bagi Penampang dan Kota Kinabalu dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Beliau turut memaklumkan sebuah kilang pemprosesan durian telah beroperasi di Keningau dan akan diperluaskan ke Tawau serta Kota Kinabalu dengan kerjasama FAMA.