KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu perkauman sebagai alat politik, sebaliknya menumpukan usaha membina persefahaman antara komuniti berbilang kaum di negeri ini.
Presidennya, Datuk Dexter Lau berkata, isu berkaitan kaum perlu ditangani secara rasional dan berwawasan, terutama ketika perbincangan mengenai representasi politik semakin kerap dibangkitkan dalam wacana awam.
Kenyataan itu dibuat susulan penjelasan Naib Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, yang menyatakan komuniti Cina tidak menolak kerajaan sedia ada, namun GRS tidak bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina.
Menurut Dexter, kenyataan sedemikian wajar difahami dalam konteks struktur politik negeri, bukan ditafsir secara sempit sehingga menimbulkan persepsi negatif antara kaum.
Beliau turut merujuk kebimbangan berterusan yang disuarakan pemimpin negeri dan nasional mengenai jumlah wakil rakyat Cina yang relatif rendah dalam kerajaan negeri Sabah.
“Isu perwakilan kaum tidak boleh diselesaikan melalui polemik politik jangka pendek, sebaliknya memerlukan pendekatan jangka panjang yang lebih berstruktur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, MCCC Sabah akan mengemukakan cadangan kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi memperkukuh pendidikan antara budaya.
Cadangan tersebut bertujuan memperkenalkan pendekatan berinstitusi untuk meningkatkan pemahaman belia bukan Cina terhadap budaya, sejarah dan cara berfikir masyarakat Cina.
Dexter berkata langkah itu bukan sahaja mampu merapatkan jurang persefahaman antara komuniti, malah membantu membina asas lebih kukuh terhadap pembentukan kepimpinan politik yang inklusif pada masa hadapan.
