Kuyungon diangkat kampung contoh MAFFKuyungon diangkat kampung contoh MAFFI

TAMBUNAN: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) mengangkat Kampung Kuyungon sebagai kampung contoh bagi pelaksanaan pertanian lestari dan usaha memperkukuh keterjaminan makanan Sabah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata pengiktirafan itu dibuat susulan kejayaan komuniti setempat membangunkan pertanian berasaskan komuniti serta penglibatan aktif penduduk, khususnya golongan belia.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Akhir Projek Pemeliharaan Hutan Kawasan Tadahan Air dan Pemerkasaan Pertanian Lestari Kampung Kuyungon, di sini, hari ini.

Menurut Jamawi, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk amalan kebun dapur bagi menyokong bekalan makanan isi rumah, selari dengan usaha kerajaan negeri meningkatkan tahap keterjaminan makanan.

“Kebun dapur merupakan antara tiga inisiatif baharu MAFFI, selain Program Mentor-Mentee Pertanian dan penglibatan usahawan industri makanan dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata model pembangunan Kampung Kuyungon akan diperluaskan ke kampung lain di Sabah berdasarkan kesesuaian dan potensi setempat.

Selepas majlis, Jamawi melawat lot percubaan tanaman padi hibrid dari Wuhan, China di Kampung Rompon, Tambunan.