GRS Perlu Mandat Baharu Teruskan Agenda Sabah Maju Jaya – Hajiji

TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya meletakkan asas pembangunan kukuh melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 bagi memacu Sabah menjadi negeri yang lebih maju dan disegani, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata mandat baharu diperlukan bagi memastikan kesinambungan pelan pembangunan itu, selain meneruskan agenda menjadikan Sabah setanding negeri-negeri lain.

Sepanjang lima tahun mentadbir, kerajaan GRS mencatat pelbagai kejayaan terutama dalam aspek kebajikan rakyat dan pembangunan modal insan.

Menurutnya, bantuan RM300 sebulan kepada 100,000 ketua isi rumah miskin tegar serta penyediaan 40 unit Rumah Mesra SMJ bagi setiap DUN membuktikan komitmen kerajaan negeri membantu rakyat.

Pada masa sama, pembinaan 18 loji rawatan air baharu serta projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas menjadi langkah penyelesaian terhadap isu legasi air dan elektrik.

Hajiji turut membidas pembangkang yang didakwanya gagal menyelesaikan masalah asas rakyat ketika mereka berada dalam kerajaan sebelum ini.

“Mereka menuduh kita gagal, tetapi siapa sebenarnya yang tidak menunaikan tanggungjawab ketika berkuasa? Bezanya, kita mencari penyelesaian dan mengambil tindakan,” katanya.

Mengulas PRU DUN Sabah Ke-17 yang menyaksikan hampir 600 calon bertanding, Hajiji berkata keadaan itu mencerminkan demokrasi, namun beliau yakin rakyat akan memilih parti dengan rekod pencapaian terbukti.

Beliau berkata demikian ketika bertemu 2,500 jentera GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah hari ini dan menegaskan jentera kini bersedia sepenuhnya untuk memastikan kemenangan GRS di kawasan tersebut.