PRN Sabah: Tanding Bebas Atau Tidak, Saya Akan Bincang Dulu Dengan Jentera – Fairuz

KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, menegaskan beliau tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan.

Ini termasuk sama ada akan bertanding sebagai calon bebas atau sebaliknya dalam Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang. Katanya, langkah itu perlu dibincang terlebih dahulu dengan jentera Pemuda dan penyokong setianya di akar umbi.

Menurut Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (GRS) itu, sebarang keputusan yang diambil akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada kawasan Pintasan, tetapi juga kepada seluruh kekuatan Pemuda Gagasan Rakyat di peringkat negeri.

“Saya kena bincang dengan jentera dan sahabat-sahabat Pemuda dulu. Apa pun tindakan saya, kesannya besar,” katanya di sini hari ini.

Fairuz turut mengesahkan menerima keputusan Presiden GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang meletakkan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sebagai calon GRS di DUN Pintasan.

Katanya, walaupun keputusan itu di luar jangkaan, beliau menerimanya dengan hati terbuka dan tetap fokus menggerakkan jentera parti.

“Semalam saya dimaklumkan saya calon di kawasan itu, tapi saat akhir bertukar. Tak mengapa, saya terima.

“Fokus saya tetap untuk bantu calon-calon GRS lain dan kuatkan jentera Pemuda,” katanya.

Beliau menambah bahawa ada dihubungi oleh beberapa parti tempatan dan Semenanjung, namun menolak pelawaan mereka kerana kekal setia kepada parti.

Fairuz yang juga bekas Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata perjuangan beliau di Pintasan belum selesai kerana masih banyak pembangunan dan geran untuk rakyat yang mahu diselesaikan.

“Masih banyak perkara belum selesai — termasuk baki geran pantas untuk rakyat. Saya mahu pastikan semua itu disampaikan,” tegasnya.

Beliau menegaskan perjuangan politiknya bukan berasaskan emosi, sebaliknya tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Tanding atau tidak, itu soal kedua. Yang utama, perjuangan untuk rakyat dan parti mesti diteruskan,” katanya yang sebelum ini memenangi kerusi DUN Pintasan pada PRN 2020 dengan majoriti tipis 84 undi.