Bekas Setiausaha PKR Sabah Sertai Warisan, Ewon Dikecam “Gimik Politik”

KOTA KINABALU:  Bekas Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol, secara rasmi menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), menyifatkan parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai satu-satunya wadah yang benar-benar memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sabah.

Bercakap pada sidang media bersama Shafie di ibu pejabat Warisan, Sazalye berkata keputusan itu dibuat selepas menilai hala tuju politik semasa, terutamanya berhubung pelaksanaan MA63 dan tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri.

“Warisan bukan sekadar bercakap, tapi bertindak. Kalau benar PTI seperti tuduhan sesetengah pihak, tidak mungkin kerajaan Warisan dahulu memberi geran tanah kepada rakyat Sabah sendiri,” tegasnya.

Sazalye menjelaskan keputusannya meninggalkan PKR bukan kerana permusuhan, tetapi untuk menyertai wadah yang lebih bersih, telus dan konsisten.

Beliau juga mengkritik tindakan Datuk Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatan sebagai “gimik politik” menjelang pilihan raya, sambil menegaskan Warisan konsisten membela hak Sabah sejak dulu.

“Yang lama bukan tidak baik, tapi saya mahu bilik yang lebih bersih. Warisan menjaga kesatuan rakyat Sabah,” tambah Sazalye.