Datang Minta Makan, Ugut Nak Cederakan Wanita, Anak

TAWAU: Gara-gara tidak berpuas hati selepas ditegur, seorang lelaki warga asing bertindak biadab apabila mengugut mahu mencederakan seorang wanita dan anaknya dalam kejadian di Kampung Serudong Laut, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACPJasmin Hussin, berkata dalam kejadian itu, suspek dikatakan datang ke rumah mangsa untuk meminta makanan namun tiba-tiba masuk ke dalam rumah tanpa kebenaran.

“Tindakan suspek itu ditegur oleh anak wanita terbabit sebelum lelaki berkenaan naik angin dan mula mengeluarkan ugutan mahu mencederakan mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jasmin berkata, bimbang keselamatan diri dan keluarga, wanita berusia lingkungan 40-an itu segera membuat laporan polis di balai berhampiran.

Menurut Jasmin, sepasukan anggota dari Balai Polis Wallace Bay kemudian digerakkan ke lokasi bagi mengesan suspek.

“Hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menahan lelaki warga asing berusia 35 tahun di sebuah kebun kelapa sawit berhampiran kampung berkenaan.

“Turut dirampas sebilah pisau bedik yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta segera melaporkan kepada polis sekiranya berdepan sebarang ancaman keselamatan di kawasan masing-masing.