KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan Kerajaan Persekutuan perlu berhenti memutar belit fakta berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang mendakwa perbelanjaan Kerajaan Persekutuan di Sabah melebihi 40 peratus hasil negeri itu adalah tidak benar dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang.
“Perbelanjaan kerajaan seperti gaji penjawat awam atau projek pembangunan di Sabah tidak boleh dikira sebagai sebahagian daripada hak 40 peratus negeri ini.
“Hak tersebut adalah milik Sabah dan rakyatnya, bukan hadiah atau subsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jeffrey menjelaskan, berdasarkan Artikel 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, peratusan 40 peratus itu adalah daripada hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah, bukannya perbelanjaan yang dibuat di negeri itu.
Beliau berkata, data rasmi menunjukkan hasil kutipan Kerajaan Persekutuan daripada Sabah mencecah sekurang-kurangnya RM50 bilion setahun, yang bermaksud RM20 bilion daripadanya perlu dipulangkan kepada Sabah mengikut peruntukan perlembagaan.
“Adalah tidak jujur apabila perbelanjaan sebanyak RM17 bilion digunakan sebagai alasan untuk menolak tuntutan tersebut.
“Itu termasuk kos gaji guru, doktor, polis dan tentera yang menjadi tanggungjawab Persekutuan di setiap negeri,” ujarnya.
Jeffrey turut mengingatkan bahawa Sabah turut berhak ke atas hasil import dan eksais produk petroleum serta duti eksport minyak mentah yang jumlahnya dianggarkan mencecah lebih RM5 bilion setahun.
“Sudah tiba masanya hak ini ditegakkan demi keadilan untuk Sabah dan rakyatnya,” tegas beliau.
