Hajiji Komited Perkukuh Pendidikan, Bukti Kepimpinan Berwawasan – Aksyah

KOTA KINABALU – Langkah proaktif Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam memperkukuh sektor pendidikan dilihat sebagai bukti komitmen strategik beliau terhadap pembangunan modal insan di negeri ini.

Aktivis politik, Aksyah Nasrah berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji menunjukkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memahami kepentingan pendidikan sebagai pemangkin utama kemajuan Sabah.

Menurutnya, tumpuan menyeluruh diberikan terhadap bantuan pendidikan di peringkat rendah dan menengah termasuk memperkasa peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan setiap anak Sabah mendapat peluang pendidikan yang setara.

Beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan negeri mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC) yang disifatkan sebagai langkah inklusif bagi memberi peluang kepada pelajar Tionghua melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta memohon biasiswa kerajaan negeri.

“Langkah ini mencerminkan kepimpinan Hajiji yang berpandangan jauh serta menghargai kepelbagaian kaum demi memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aksyah turut memuji cadangan Hajiji menawarkan subsidi kepada peminjam PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF), yang disifatkannya sebagai dasar berani dan berpihak kepada rakyat.

Katanya, peruntukan berbillion ringgit kepada sektor pendidikan membuktikan tahap kesungguhan dan keikhlasan Hajiji dalam melahirkan generasi muda berilmu, berkemahiran serta mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Beliau menyeru rakyat Sabah untuk terus menyokong kepimpinan GRS di bawah Hajiji demi memastikan dasar pembangunan modal insan diteruskan, seiring matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadikan Sabah negeri maju, makmur dan sejahtera.