SEMPORNA – Seorang wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dinaikinya terbabas sendiri sebelum terbalik di Jalan Semporna-Pegagau, awal pagi Khamis.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 6.11 pagi melalui talian MERS999.
“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer, diketuai oleh PBK I Badri bin Alkap sebagai Komander Operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setibanya di lokasi pada jam 6.43 pagi, pasukan bomba mendapati kenderaan berkenaan terbabas sendiri dan terbalik kira-kira 50 meter dari jalan raya utama.
“Terdapat seorang mangsa perempuan berusia lingkungan 30-an yang cedera dalam kejadian itu. Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” jelas kenyataan itu.
Operasi dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 7.40 pagi setelah pasukan bomba memastikan tiada lagi mangsa lain terlibat.
Untuk sebarang maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi Pengganti Ketua Balai BBP Semporna, PBK I Norhaini Binti Jumdani di talian 016-6675952.
