KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Inanam kekal utuh walaupun Datuk William Majimbun mengambil keputusan menyertai Parti Warisan (Warisan).
William merupakan Ahli Majlis Tertinggi PBS dan bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Inanam.
Susulan keputusan itu, PBS Bahagian Inanam mengadakan mesyuarat pada Selasa lalu bagi membincangkan perkara berkenaan.
Mesyuarat tersebut menyatakan pendirian bahawa seluruh kepimpinan dan ahli PBS Inanam akan terus bersatu serta komited terhadap perjuangan parti.
Ketua Bahagian PBS Inanam, Fredolin Totin Bangon berkata, fokus kini diberikan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, keputusan William tidak menjejaskan semangat ahli dan penyokong PBS di Inanam.
“Malah, ia menguatkan lagi tekad kami untuk memperjuangkan prinsip parti berasaskan keikhlasan, kestabilan dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Fredolin menegaskan bahawa PBS Inanam terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kemenangan pada PRN17 demi kestabilan politik negeri.
