KUNDASANG: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus membangunkan golongan belia sebagai teras kemajuan negeri, selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkasakan modal insan agar belia Sabah terus ke hadapan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Pelbagai inisiatif dibuat demi membawa belia ke hadapan selaras dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Ini termasuk bantuan pendidikan negeri Sabah seperti biasiswa, dermasiswa, tabung pendidikan, bantuan peralatan dan tunai,” katanya di sini semalam.
Dr. Joachim yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, bantuan pendidikan itu bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan serta memastikan lebih ramai anak negeri dapat melanjutkan pelajaran tanpa halangan kewangan.
Beliau turut menekankan perhatian kerajaan terhadap kesejahteraan sosial belia melalui program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi pasangan muda, dengan tambahan 10 unit rumah setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.
“Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan belia, khususnya pasangan muda yang ingin membina kehidupan sendiri,” katanya.
Pada majlis itu, Dr. Joachim turut menerima borang keahlian baharu PBS daripada Nazrul Mohamin, selain menyambut kemasukan ahli baharu di Kampung Patau, sebagai tanda sokongan rakyat terhadap perjuangan PBS dan GRS di Kundasang.
