Tokoh Sabah Jismith Sertai Parti ANAK NEGERI — Terus Dilantik Pengarah Pilihan Raya!

KOTA KINABALU – Parti Kerjasama Anak Negeri (ANAK NEGERI) menerima suntikan baharu apabila tokoh politik berpengalaman, Jismith Japong, menyertai parti itu dan serta-merta dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya yang baharu.

Jismith, yang sebelum ini dikaitkan dengan Parti Gemilang Anak Sabah (GAS), menyerahkan borang keahlian kepada Presiden ANAK NEGERI, Datuk Henrynus Amin, dalam satu mesyuarat khas di Kota Kinabalu semalam.

Beliau hadir bersama kira-kira 40 penyokong teras, sambil mengumumkan bahawa kumpulannya, Gemilang Sabah, akan menyertai ANAK NEGERI secara beramai-ramai — langkah yang dijangka memperkukuh kekuatan akar umbi parti di seluruh negeri.

Henrynus menyifatkan kemasukan Jismith sebagai peristiwa penting dalam perjalanan ANAK NEGERI, membawa pengalaman, sumber dan rangkaian baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Keputusan Jismith membawa nilai besar. Beliau bukan sahaja menyumbang ahli dan calon berpotensi, tetapi juga tenaga dan rangkaian luas untuk menggerakkan misi parti,” katanya.

Sebagai Pengarah Pilihan Raya, Jismith akan mengetuai semua persiapan dan penyelarasan jentera ANAK NEGERI di seluruh Sabah.

Henrynus turut menegaskan komitmen parti untuk bertanding sekurang-kurangnya 55 kerusi DUN, dengan senarai calon merangkumi gabungan pemimpin berpengalaman, belia dinamik dan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita.

Beliau berkata, manifesto parti akan berpaksikan lima agenda utama – memperjuangkan hak rakyat Sabah, menuntut hak kewangan negeri, menjamin keselamatan dan kedaulatan, membangunkan ekonomi serta memelihara keharmonian agama. Manifesto penuh akan diumumkan pada 26 Oktober ini di Ranau.