KUALA PENYU: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kuala Penyu, Jonas Sungim berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan masa depan dan membentuk kerajaan baharu yang mereka inginkan.
Beliau berkata, ruang itu hanya hadir setiap lima tahun sekali dan wajar dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membawa perubahan positif kepada rakyat.
“Tanggungjawab pemimpin adalah berkhidmat dengan baik dan memahami naluri rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.
Jonas berkata, suasana politik semasa memberi peluang kepada rakyat untuk melakukan tindakan berani bagi menjamin masa depan yang lebih baik.
“Kita mesti menggunakan peluang yang ada untuk melakukan perubahan. Jika kita kekal statik, yang rugi adalah rakyat,” ujarnya.
Beliau berharap jentera STAR Kuala Penyu terus bekerja keras, menyantuni rakyat dan memperbaiki segala kelemahan yang ada agar wujud kepuasan di kedua-dua pihak — pentadbiran dan rakyat.
“Sebagai pemimpin, kita bukan sekadar menjadi wakil rakyat, tetapi juga perlu memahami kehendak serta peka terhadap perkembangan semasa,” katanya.
Jonas turut menegaskan bahawa seorang pemimpin perlu mempunyai asas dan latar belakang yang kukuh supaya mampu berfikir jauh dan tidak terbatas kepada kepentingan kelompok tertentu sahaja.
“Pada pilihan raya kali ini, STAR Kuala Penyu akan digerakkan sepenuhnya bagi menawarkan perubahan baharu di daerah ini,” katanya.
