PBS sanggah tuduhan rasuah Warisan, dakwa dimanipulasi untuk politik

KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak tuduhan rasuah yang dilemparkan oleh pemimpin Parti Warisan, Terrence Siambun, dengan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan bermotif politik semata-mata.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, kenyataan Terrence bersifat mengelirukan dan sengaja memutarbelitkan fakta demi mencipta naratif palsu untuk menyerang kepimpinan parti itu.

Menurutnya, kenyataan beliau dalam sebuah video yang tular – “Kita tidak pernah minta, dia yang beri dulu” – telah diambil di luar konteks, dan tidak boleh dijadikan asas untuk menuduh berlaku rasuah dalam PBS.

“Menafsir bahawa video itu tulen tidak bermaksud kami mengaku bersalah. Ketulenan dan kesalahan adalah dua perkara yang sangat berbeza,” tegasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tiada bukti menunjukkan mana-mana pemimpin PBS menyalahgunakan kuasa atau menerima wang secara salah, malah semua sumbangan politik kepada parti diurus mengikut prosedur yang sah.

Dr Joachim turut menyelar tindakan Terrence yang berulang kali mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu itu, sambil menyifatkannya sebagai cubaan memberi tekanan kepada pihak berkuasa dan mempengaruhi persepsi awam.

Katanya, rakyat Sabah berhak mendapat maklumat yang benar dan tidak dijadikan mangsa kepada permainan politik yang berpaksikan fitnah dan spekulasi tidak berasas.

“PBS kekal komited kepada ketelusan, integriti dan pembangunan negeri. Sabah tidak akan maju jika pemimpin terus berpolitik semata-mata tanpa fokus kepada kebajikan rakyat,” katanya.