PRN Sabah: Jordan Jude Calon STAR di DUN Tulid

KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jordan Jude Ellron, disahkan bakal bertanding mewakili parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jordan yang juga anak kepada penyandang DUN Sook, Datuk Ellron Angin, berkata pemilihannya sebagai calon adalah satu penghargaan besar dan bukti keyakinan kepimpinan tertinggi STAR terhadap kemampuan generasi muda untuk memimpin perjuangan politik negeri.

“Saya amat berterima kasih kepada Presiden kerana memberi peluang kepada saya menjadi calon mewakili STAR. Saya akan membawa semangat Sabah for Sabahan, khususnya memperjuangkan suara golongan muda,” katanya.

Menurutnya, pengumuman awal mengenai pencalonannya memberi ruang mencukupi untuk beliau menyusun strategi dan memperkukuh jentera parti di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, langkah STAR menampilkan calon muda membuktikan parti itu serius memberi ruang kepada generasi baharu untuk bersama-sama menentukan hala tuju perjuangan politik di Sabah.

“Ini bukan sekadar kemenangan anak muda, tetapi satu isyarat jelas bahawa STAR sedang melangkah ke hadapan dengan menampilkan kepimpinan baharu menggantikan generasi veteran,” katanya.

Mengulas mengenai perbezaan pendirian politik dengan bapanya yang kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jordan menegaskan ia tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan mereka.

“Keluarga tetap keluarga, ideologi tetap ideologi. Kadang-kadang lidah pun tergigit, tetapi itu tidak bermaksud kami berjauh — hanya berbeza pandangan,” katanya.