KOTA KINABALU – “Mereka sudah diberi masa… kalau masih degil, kita ganti,” Itu amaran tegas Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan terhadap lima bekas ADUN yang keluar parti baru-baru ini.
Menurut Jeffrey, kelima-lima mereka diberi tempoh seminggu untuk menyatakan pendirian sebenar – sama ada kekal bersama STAR atau bertegas mahu berpisah.
Kini, katanya, separuh daripada masa itu telah pun berlalu.
“Ramai yang bersedia ambil tempat mereka. Kita dah beri peluang, tapi kalau mereka tetap tak berubah, kita tak tunggu lama,” katanya ketika ditemui media semalam.
Beliau berkata, STAR akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi (EMT) dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah seterusnya, termasuk mengenal pasti calon baharu.
“Kerusi itu kita yang hadiahkan, bukan mereka menang atas nama sendiri. Jadi kalau tak setia, kita serah kepada yang lebih layak – orang muda, pejuang sejati,” tambahnya lagi.
Difahamkan, tindakan keluar parti oleh lima ADUN itu mengejutkan banyak pihak, sekali gus mencetuskan tanda tanya terhadap kesetiaan mereka kepada perjuangan STAR.
