TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Bombalai, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kemalangan berlaku di simpang Ladang Table apabila motosikal mangsa keluar dari simpang berkenaan sambil membelok ke kanan menuju ke Jalan Bombalai.
“Ketika itu, sebuah pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 56 tahun dari arah Kalabakan menuju ke bandar Tawau dipercayai bertembung dengan motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian.
Jasmin turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
