Perjuangan Dari Akar Ke Pusat Demi Rakyat – Henry

SANDAKAN – Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sungai Sibuga merangkap Exco Pemuda Pusat, Henry Hamdan, menegaskan perjuangan politik perlu diperkuat dari akar umbi hingga ke peringkat nasional demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata usaha memperhebat politik lokal merupakan teras penting dalam memastikan suara rakyat Sabah terus dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Henry, kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, yang menghormati keputusan parti komponen bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri akan datang mencerminkan kematangan politik dalam gabungan itu.

Katanya, sikap saling menghormati yang ditunjukkan semasa Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menggambarkan kepimpinan terbuka dan matang.

“Kita memperhebat perjuangan dari kampung ke daerah, dari negeri ke pusat. Tiada lain, hanya untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Henry menegaskan, Gagasan Rakyat akan terus memperkukuh penyatuan dalam GRS bagi memastikan pembangunan ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan dapat dipertingkat untuk generasi muda.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama dengan kerajaan pusat penting bagi menjamin kestabilan politik serta memastikan Sabah menikmati manfaat daripada dasar pembangunan nasional.

“Sabah tidak boleh bergerak sendirian. Hanya dengan gabungan kekuatan lokal dan nasional, kita mampu memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negara,” katanya.