Berpisah tidak bererti STAR dan SAPP musuh GRS – Aksyah

KOTA KINABALU – Keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk bertanding menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak wajar dianggap sebagai tanda perpecahan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bekas Timbalan Ketua BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan teliti dan wajar dihormati.

Beliau menjelaskan bahawa semasa Mesyuarat Majlis Presiden GRS, STAR dan SAPP mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo GRS, namun cadangan itu ditolak majoriti kerana bertentangan dengan dasar gabungan PH.

“Presiden kedua-dua parti menerima keputusan itu secara terbuka dan profesional.

“Tindakan STAR dan SAPP bukanlah satu bentuk permusuhan, sebaliknya mencerminkan kematangan dan prinsip demokrasi dalam GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aksyah menyeru semua ahli GRS kekal fokus pada persiapan PRN kerana peluang kemenangan masih tinggi.

Beliau turut mendoakan kejayaan STAR dan SAPP, sambil membuka ruang kerjasama politik masa depan demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah.