11 PATI warga Pakistan ditahan dalam serbuan Imigresen Sabah

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 11 lelaki warga Pakistan dalam satu operasi penguatkuasaan di beberapa rumah sewa sekitar daerah ini awal pagi semalam.

Menurut JIM Sabah kenyataan berkata, serbuan yang bermula jam 1.30 pagi hingga 4.30 pagi itu melibatkan seramai 28 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu.

“Seramai 21 individu diperiksa dan hasilnya, 11 orang lelaki warga Pakistan ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa.

“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, sebelum dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah kenyataan itu, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan dan aduan awam berhubung kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan terbabit.

JIM Sabah turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau membenarkan PATI menetap di premis mereka.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang, terutamanya berkaitan isu keselamatan,” katanya.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras kehadiran PATI di kawasan masing-masing.