Hajiji Saksikan SPOIC, Jetama meterai usahasama bangunkan Loji Nyahgaram 2MLD di Sandakan

KOTA KINABALU: Sawit Palm Oil Industrial Cluster Sdn. Bhd. (SPOIC), anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu menandatangani perjanjian usahasama dengan Jetama Sdn. Bhd. (JSB).

Ini bagi pembangunan Loji Penyahgaraman Air berkapasiti dua juta liter sehari (2MLD) di Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SK SIP), hari ini.

Hajiji Saksikan SPOIC, Jetama meterai usahasama bangunkan Loji Nyahgaram 2MLD di Sandakan.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Ibu Pejabat Kumpulan Sawit Kinabalu, Menara Kinabalu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang.

Perjanjian dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, bersama Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Mannan.

Ia turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang dan Timbalan CEO Kumpulan Sawit Kinabalu, Datin Stella Ambrose.

SK SIP yang dibangunkan di atas tanah seluas 1,010 ekar merupakan taman perindustrian bersepadu lengkap dengan kemudahan asas, bertujuan memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan strategik dan merancakkan pembangunan industri hiliran di Sabah.

Loji yang akan dibangunkan itu menggunakan teknologi Reverse Osmosis (RO) bagi menukar air laut kepada air terawat gred industri, sekali gus memastikan bekalan air yang stabil dan mampan kepada kawasan perindustrian berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg berkata, projek itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi Sabah melalui penciptaan peluang pekerjaan dan penggalakan industri hiliran.

“Usahasama ini mencerminkan komitmen berterusan dua GLC dalam menyokong agenda pembangunan negeri serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah,” katanya dalam kenyataan bersama.

Projek ini turut menandakan langkah ke hadapan dalam memperkukuh kolaborasi antara syarikat berkaitan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur asas penting bagi menyokong pembangunan industri secara lestari di negeri ini.