Pemandu Maut, Empat Cedera Nahas Dua Kenderaan di Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Papar Lama, berhampiran pintu belakang Kem Lok Kawi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 pagi ketika kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Penampang menuju ke Papar.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan 4WD yang datang dari arah Kinarut menghala ke Penampang.

“Akibat perlanggaran tersebut, pemandu kereta berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua penumpang kereta, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pacuan empat roda itu dinaiki tujuh individu termasuk pemandu, kesemuanya berusia 14 tahun.

“Dua daripada mereka turut cedera dan sedang menerima rawatan di hospital,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Sammy menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak bawah umur bagi mengelakkan mereka memandu tanpa lesen.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.