KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah tampil tegas membela Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh, dengan mendesak Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam, agar segera membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang dianggap memperlekeh dan menghina kepimpinan sayap muda parti itu.
Kenyataan Lokman yang merujuk Dr. Akmal sebagai “Ketua Pemuda H2O” disifatkan sebagai serangan berunsur jahat yang boleh menggugat reputasi serta kredibiliti Ketua Pemuda UMNO di mata ahli dan rakyat.
“Kenyataan itu amat berat dan serius. Ia berpotensi menjatuhkan nama baik YB Datuk Dr. Akmal Saleh sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” tegas Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim, dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Sufian, Pemuda UMNO Sabah tidak akan berdiam diri apabila pemimpin muda mereka dipermainkan secara terbuka oleh pemimpin dalam parti sendiri.
Beliau menggesa Lokman tampil segera dan memohon maaf secara terbuka atas kenyataan tersebut, yang disifatkan bukan sahaja melampau, tetapi juga boleh mencetuskan perpecahan dalam parti.
“Kami mahu Datuk Lokman Adam bertanggungjawab atas kenyataannya. Jika tidak, kami akan mencadangkan beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana melanggar semangat dan Perlembagaan parti,” katanya lagi.
Sufian turut mengingatkan bahawa budaya fitnah, tohmahan, dan tindakan memperlekeh sesama pemimpin dalam parti adalah racun dalaman yang boleh menghancurkan kekuatan UMNO dari dalam.
