Dari Sabah ke Pentas Dunia – Dexter Lau Bawa Nama Borneo di Forum Antarabangsa exter

GUIYANG, CHINA: Dari Kota Kinabalu terus ke pentas global! Datuk Dexter Lau, Presiden Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah merangkap CEO Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), membuktikan usahawan Borneo mampu bersuara di gelanggang antarabangsa.

Pada 12–14 Ogos lalu, beliau dijemput khas ke Forum Peringkat Tinggi “Trade Connectivity and Global Expansion” sempena Persidangan Usahawan Malaysia–China ke-15 di Guiyang, China — acara mega yang menghimpunkan hampir 1,000 pemimpin kerajaan dan perniagaan dari Malaysia, China dan seluruh dunia.

Dexter Lau ketika berucap di majlis tersebut.

Dalam ucaptamanya, Dexter Lau berkongsi kisah bagaimana KTC berkembang daripada perniagaan tempatan ke gergasi FMCG serantau.

“Pengembangan global bukan pilihan, ia adalah kewajipan,” jelasnya.

Dexter Lau bersama ibunya ketika hadir di majlis tersebut.

Beliau turut mengimbas nasihat “pedas” dari seorang profesor di Wharton School, University of Pennsylvania yang pernah berkata beliau “belum bersedia” jadi usahawan.

Kata-kata itu mengubah cara fikirnya – bahawa kejayaan perlukan model bisnes jelas, strategi mantap dan disiplin pengurusan, bukan sekadar semangat.

Dexter Lau ketika berucap di majlis tersebut.

Mewakili Sabah, Sarawak dan Brunei, beliau menegaskan peranan strategik Borneo dalam perdagangan serantau, sambil merancang 12 tahun terakhir sebelum KTC mencecah usia 100 tahun — memastikan generasi keempat keluarga Lau mampu terus memacu syarikat untuk abad seterusnya.

Bagi beliau, modal insan adalah kunci, CSR pula bukan sekadar kewajipan moral tetapi pelaburan strategik. Kejayaan sebenar ialah win-win — semua pihak dapat manfaat, dari pekerja hingga komuniti.

Beliau menggesa syarikat di Asia Tenggara bertindak pantas dalam 4 bidang utama: penyetempatan, teknologi digital, kerjasama strategik dan kelestarian — supaya kekal relevan dalam era RCEP, pembangunan infrastruktur pesat dan ledakan teknologi.

Lebih istimewa, ibunya Datin Lim Fook Len hadir memberi sokongan peribadi bersama delegasi MCCC Sabah — membawa sentuhan mesra keluarga ke forum bertaraf dunia ini.