PENAMPANG : Polis sedang giat mengesan pemandu kenderaan yang terlibat dalam satu kes kemalangan maut membabitkan seorang wanita tempatan dan anak kecilnya di Jalan Kampung Kimbabangan, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.30 malam ketika mangsa berusia 38 tahun sedang berjalan kaki bersama anak lelakinya berusia setahun lima bulan.
“Mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,”
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.15 pagi di Wad Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth I manakala anaknya kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Kanak-Kanak Likas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sammy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kenderaan terlibat diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Trafik IPD Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” jelas Sammy.
