Op Tapis: Rumah dijadikan stor dadah simpan senjata berbahaya, 3 penjawat awam ditahan

LAHAD DATU : Polis menahan lima lelaki termasuk tiga penjawat selepas disyaki menjadikan rumah sebagai markas simpanan dadah, air ketum serta senjata berbahaya,, di Taman Harapan, Jalan Silam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan dadah jenis syabu seberat 0.41 gram, 224 liter air ketum serta 8.20 liter ubat batuk di lokasi berkenaan.

Antara beberapa barangan rampasan dapam Ops Tapis di Lahad Datu, di sini semalam.

Katanya, polis merampas sebilah pedang samurai bersama enam bilah parang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk tujuan tertentu.

“Polis turut menganggarkan nilai keseluruhan rampasan ini adalah dianggarkan berjumlah RM11,655.40.

“Kesemua suspek ini dikenal pasti berusia antara 24 hingga 38 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulbaharin berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Amphetamine, manakala empat lagi negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk penjawat awam yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral sekali gus menyalahi undang-undang,” jelas Dzulbaharin.

Menurutnya, pihak akan meneruskan operasi secara bagi memastikan Lahad Datu bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah dan jenayah berkaitan.