KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap Syarikat Wullersdorf Resources Sdn Bhd selepas didapati maaih menjalankan aktiviti perlombongan emas di Bukit Mantiri, Balung Tawau.
Seorang jurucakap hanya dikenali sebagai Anak Balung mendakwa, aktiviti kerja-kerja perlombongan emas masih dijalankan walaupun syarikat ini sudah ditamatkan lesen Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Katanya, sehingga kini begitu ramai anak tempatan Kampung Balung Kokos bekerja di kilang tersebut namun difahamkan oleh pihak insurans tidak ada perlindungan insurans untuk aktiviti carigali di lombong Wullersdorf Resources.
“Ini kerana sebelum ini telah pemilik lesen EIA telah membatalkannya untuk aktiviti perlombongan emas di Bukit Mantiri, Balung Tawau.
“Walaupun kilang Wullersdorf Resources Sdn Bhd telah diarah berhenti, namun aktiviti carigali di tapak perlombongan masih giat dijalankan sehingga kini,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.
Beliau mendakwa, bagaimana pihak syarikat Wullersdorf Resources Sdn Bhd begitu berani menjalankan kegiatan mereka tanpa memiliki lesen EIA.
“Kejadian bencana alam sekitar yang berlaku baru-baru ini memberikan impak negatif kepada masyarakat kampung kerana toksik beracun mengalir ke sungai berhampiran.
“Sungai Balung inilah merupakan salah satu punca penduduk kampung untuk nendapatkan air serta menjala ikan,” jelasnya.
Menurutnya, pendapatan penduduk kampung sangat terjejas kerana takut risiko sisa toksik berpunca daripada kilang Wullersdorf Resources.
“Kami mahu pihak SPRM bertindak segera kerana kami khuatir ada unsur penyalahgunaan kuasa dalam isu ini, akibatnya orang kampung pula kini menjadi mangsa.
“Bagaimana pemilik Syarikat Wullersdorf Resources Sdn Bhd begitu berani menjalankan aktiviti perlombongannya walaupun tidak mempunyai lesen EIA,” katanya.
