KTC sumbang RM10,000 kepada Tokong Kwan Tee Lahad Datu

LAHAD DATU : Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) mengambil inisiatif memperuntukan sumbangan RM10,000 kepada Tokong Kwan Tee sempena program Jelajah Iftar 2025, di daerah ini.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata sepanjang jelajah ini, beliau berpeluang bertemu dengan rakan-rakan baharu dan berkenalan dengan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

“Apabila diminta untuk memberi sumbangan, saya tidak akan teragak-agak tanpa mengira bangsa dan agama.

“Sumbangan ini amat bermakna kerana ia adalah inisiatif Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Datuk Mizma Appehdullah yang menjadikan sumbangan ini satu kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Jelajah Iftar 2025 KTC bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, semalam.

Dexter berkata, bulan Ramadan ini adalah masa untuk melakukan kebaikan, saling membantu serta mempereratkan hubungan antara semua pihak tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Presiden Dewan Perniagaan Tiong-Hua Lahad Datu merangkap Presiden Persatuan Hokkien Lahad Datu, Tan Cheng Teng, menzahirkan terima kasih kepada Dexter atas sumbangan yang diberikan.