KOTA KINABALU : Pihak pengurusan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), perlu mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan teguran Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM) dalam tempoh terdekat.
Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata, tindakan serius wajar diambil segera bagi menambah baik isu teguran diberikan demi kebaikan pada masa depan.

Katanya, beliau mengingatkan agar pengurusan eksekutif LPPB memastikan supaya perkara ini tidak berulang sekali gus perlu dielak agar tidak menjadi barah dalam pentadbiran jika gagal ditangani segera.
“LPPB mendapat teguran audit berhubung pengurusan aktiviti utama 2024 berikutan kurang memuaskan berkaitan masalah kelewatan projek berkaitan kerjasama dengan pihak ketiga.
“Kita mengesa agensi berkaitan terutama melibatkan elektrik dan jabatan air untuk mempercepatkan kelulusan proses penyambungan ke kawasan projek perumahan siap dibina,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Amanat Pengerusi dan Sambutan Tahun Baru Cina LPPB di Dewan Hakka, di sini semalam.
Masiung berkata, tadbir urus agensi LPPB bukan sahaja menyelesaikan teguran audit malah memastikan semua projek perumahan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
“Ketika saya mula menyertai LPPB, prestasi kewangan agensi ini agak merundum.
“Selepas membuat pembaharuan tiga tahun kemudian, mendapati LPPB memperoleh sumber keuntungan baik sekali gus membolehkan warga kita mendapat bonus tahunan,” jelas Masiung.
Menurutnya, beliau meminta semua pegawai serta kakitangan LPPB mengekalkan hubungan kerja berpasukan disamping memastikan prestasi kewangan berada dalam keadaan memberangsangkan.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Ridhwan Riger Linus, Pengurus Besar LPPB, Datuk Rosemary Ahping serta Timbalan Pengerusi LPPB, Datuk Jamaliah Antalip.
