Program Senergi LABUANfm: Kibaran WilayahKu pupuk semangat kebersamaan, perpaduan – Mohd Azry

LABUAN : Program Senergi LABUANfm Kibaran WilayahKu dilihat mampu memupuk semangat kebersamaan sekali gus meningkatkan perpaduan dikalangan warga Labuan.

Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Azry Abdullah @ Horward Kim Sung berkata, program ini merupakan anjuran RTM Labuan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADKK) Labuan.

Mohd Azry Abdullah

Katanya, selain itu turut terlibat Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Tg Aru serta mendapat sambutan dalam kalangan warga penduduknya.

“Program ini mampu mendekatkan pendengar bersama LABUANfm, merupakan pengisian sempena Hari Wilayah.

“Kita yakin melalui program turun padang LABUANfm ini secara tidak langsung dapat menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Program Senergi LABUANfm: Kibar WilayahKu di Kampung Tanjung Aru, Labuan.

Mohd Azry berkata, beliau berharap agar program ini dapat diperluaskan ke kawasan kampung lain bagi memberikan manfaat kepada penduduk di seluruh Labuan.

Program sehari itu disertai penduduk Kampung Tanjung Aru antaranya bergotong-royong membersihkan kampung melibatkan rumah pembuat gasing Tradisional, Pungut @ Azman Matali.

Selain itu program ini bekerjasama memasang bendera Wilayah Persekutuan di kawasan persimpangan jalan serta menghias Bangunan Balai Raya Kampung Tanjung Aru.

Turut hadir, Pegawai AADK Labuan, Nur Hidaysh Hadnan, Ketua Kampung Tanjung Aru, Harun Damit serta Penerbit Program Senergi LABUANfm, Farah Erddyiannah Mokti.